Redakan seketika membongkar rasuah Khir Toyo

Oleh : KAWAN LAMA

Buat sdr Lutfi yang budiman.

Sebelum mengucap tahniah atas pembongkaran kes rasuah Khir Toyo, suka saya mengingatkan bahawa sdr sebenarnya bukan menentang Menteri Besar Selangor yang baru 14 bulan jadi MB, tetapi yang sdr tentang adalah pemimpin atasan kerajaan dan Umno.

Justeru, sdr harus ingat risiko yang bakal sdr terima. Yang mahu digugat sdr adalah sistem yang dipakai oleh kerajaan Umno, yang membenarkan amalan korupsi berleluasa dengan begitu hebat. Kalau yang sdr tentang hanya Khir Toyo, ia mungkin mudah, seperti yang pernah sdr lakukan kepada Abu Hassan Omar.

Saya terbaca tulisan dalam Detikdaily bahawa Mahathir adalah orang di belakang Khir. Sepanjang pengetahuan saya, ia tidak benar sama sekali. Memang PM yang melantik Khir, tetapi nama Khir dicadangkan oleh pihak lain, dan bukannya Mahathir sendiri. Mahathir pun tak kenal siapa Khir dan Mahathir pun tak berminat nak mencaturkan politik Selangor ini.

Orang yang mencadangkan nama Khir itulah yang sdr tentang hari ini. Dan dia bukan calang-calang orang. Silap haribulan sdr sendiri mendapat bencana daripadanya.

Saya akan mendedahkan nama tokoh yang mendalangi pencalonan Khir dulu tidak lama lagi. Bagaimanapun saya sedih jika sdr akan kecundang kali ini. Sdr boleh diseret ke mahkamah atas kes jenayah dan dipenjarakan. Sdr mungkin akan mengulangi nasib malang Lim Guan Eng. Khir pasti terlepas. Janganlah sama sekali sdr harapkan Khir akan terlungkup sebab dia anak emas pemimpin atasan Umno.

Saya cadangkan Sdr lupakan dulu kes Khir Toyo ini. Berehatlah dulu, saya risau jika sdr tertangkap, terpenjara dan akan dilupakan kerana pembangkang sendiri tidak begitu berminat nak perjuangkan kes ini. Semua pemimpin UMno rasuah, bukan saja Khir, jadi kalaupun Khir tak dapat dijatuhkan tidak bermakna perjuangan sdr sia-sia.

Harapan saya ... berehatlah dulu, ingatlah ... kita bagaikan mentimun, Khir adalah durian. Apa pun nanti, kita juga yang menjadi mangsa. Orang lain hanya bertepuk gembira atau menangis seketika. Sdr dan keluarga sdr juga yang menanggung akibat sampai bila-bila.

Renunglah nasihat dari kawan lama ini ...



Top   Home

"DETIK DAN Al - WASILAH SUDAH MATI!
HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN MEDIA"
PENERBITAN PEMUDA
24G, Jalan 4/21D, Medan Idaman, Gombak, 53100 Kuala Lumpur
Tel : 03-40243530 Faks : 03-4630372
lutfi_detik@hotmail.com