Kalau Nak Saman RTM, Lakukan Segera, Jangan Acah-Acah Saja

Oleh : JEBAT

Sejak akhir-akhir sebagaimana kita sedia maklum bahawa kerajaan Barisan Nasional melalui media arus perdana telah memperhebatkan serangan kepada pembangkang terutama kepada PAS dengan begitu hebat sekali. Segala sumber ada pada mereka telah di susun dengan sensasi sekali untuk tatapan rakyat Malaysia.

Mereka telah mempergunakan jentera kerajaan atas nama kapasiti kerajaan untuk menghentam pembangkang terutama PAS. Perlu diingat media adalah satu-satu propaganda kerajaan bukan parti politik. Tetapi Umno, kerajaan Barisan Nasional telah mempergunakan media untuk kepentingan politik mereka.

Jika mereka benar-benar berjuang berlandaskan demokrasi, mereka akan memberi peluang kepada parti-parti politik menjawab segala tuduhan kepada mereka. Mereka adalah mempunyai hak untuk menjawab segala tuduhan terhadap mereka atas dasar demokrasi. Tetapi atas kegilaan kerajaan Barisan Nasional, mereka telah menutup segala ruang untuk parti pembangkang untuk menyampaikan mesej mereka kepada rakyat.

Kapsul-kapsul yang ditayangkan di siaran TV benar-benar bersifat jahat. Kerajaan Barisan Nasional sekarang telah hilang kewarasan dan telah mengongkong fikiran rakyat. Rakyat tidak dibenar mendapat maklumat lain selain daripada kerajaan yang hanya bersifat propaganda parti politik terutamanya UMNO.

Yang menyedihkan Kerajaan Barisan Nasional telah memandangkan kepada pejuang Islam sebagai musuh utamannya. Secara tidak sedar mereka telah menyerang Islam setiap malam. Mereka menggambarkan Islam itu ganas secara tak langsung. Walau bagaimanapun kita berharap rakyat akan faham akan propaganda parti UMNO ini yang hanya menggunakan media perdana untuk menghentam parti pembangkang. Tetapi bagaimana?

Perlu kita ingat Kerajaan Barisan Nasional telah mengharamkan semua ceramah-ceramah politik, menghadkan pengeluaran media pembangkang dan mengawal pengedaran media tersebut. Pengharam penjualan VCD secara terbuka adalah sebenarnya untuk mengawal penjualan VCD parti pembangkang.

Buktinya, jika pengharaman tersebut adalah untuk membanteras cetak rompak adalah tidak benar belaka. Sebaliknya VCD cetak rompak masih berleluasa di pasaran. Inilah objektif kerajaan BN yang telah menggunakan saluran kerajaan untuk menghimpit pembangkang.

Bagi pembangkang kita perlulan melihat ini secara serius. Kita haruslah menerima hakikat bahawa kerajaan BN sekarang telah mula mendapat tempat di hati rakyat. Kita lihat sahaja pilihanraya kecil di Indera Kayangan, mereka telah memanipulasikan segala jentera kerajaan dengan berkesan sekali.

Pembangkang haruslah bangun sekarang. Kita masih jauh. Kita amat sedih apa yang berlaku di dalam parti Keadilan sekarang. Belum apa-apa lagi terjadi perselisihan dalam parti sendiri. KeADILan tidaklah perlu terikut-ikut dengan arus media perdana yang sentiasa memberi laporan negatif. Apa yang berlaku amatlah menyedihkan. Pemimpin-pemimpin parti KeADILan haruslah berkompromi demi kebaikan parti. Rakyat menaruh harapan kepada KeADILan tetapi jika pemimpin mereka tidak sekata, apa yang boleh diharapkan lagi pada KeADILan.

Saya amat bersetuju dengan tulisan wartawan detikdaily bahawa isu larangan perlu diketengahkan dan diperbesar-besarkan. Pemimpin pembangkang perlulah mengambil tindakan yang lebih positif dalam perkara ini. Biar dunia tahu bahawa negara Malaysia ini telah menuju ke arah pemerintahan ala komunis.

Pemimpin perlu melaporkan kepada badan-badan yang boleh memberi tekanan kepada kerajaan Barisan Nasional dengan membawa isu-isu yang sedang panas sekarang ini. Pemimpin pembangkang haruslah berpadu tenaga dan tidak harus berdiam diri dengan mengambil sikap bertahan. Ini amatlah merbahaya. Kita mempunyai badan berkecuali seperti SUHAKAM.

Walaupun kita tidak mempunyai harapan yang tinggi kepada SUHAKAM sebaik-baiknya kita melaporkan kepada SUHAKAM dan mendesak SUHAKAM mengambil tindakan yang sekarang ini terang-terang menganiaya parti-parti pembangkang. Kalau SUHAKAM tidak dapat menyelesaikan perkara ini kita haruslah membawa kepada badan-badan NGO di luar Malaysia dan melaporkan kepada mereka keadaan yang berlaku di Malaysia sekarang.

Semua rakyat tahu bahawa kerajaan BN terang-terang telah mencabul hak asasi rakyat negara ini. Sekatan demi sekatan dikenakan ke atas pembangkang. Kerajaan BN sedar bahawa sokongan rakyat terhadap mereka telah terhakis, maka mereka telah melakukan tindakan yang agresif dan ganas dalam menyerang parti pembangkang.

PAS hendaklah mengotakan apa yang telah dikota. Bukan hanya sekadar acah. Jika PAS hendak menyaman RTM saya harap disegerakanlah. Jika PAS hanya acah sahaja, kita nampak RTM semakin berani, memprogandakan untuk memburukkan PAS.

Inilah harapan kita kepada pemimpin pembangkang supaya terus mengambil tindakan yang lebih proaktif. Kita tidak perlu hanya memberi ucapan mengutuk. Kita tahu kerajaan BN memang tahan dikutuk. Kutuk mengutuk tak menjadi kudis bagi kerajaan BN. Yang penting mereka tidak kalah dalam pilihanraya akan datang. Hak asasi tidak dihiraukan lagi. Rakyat disumbat dengan maklumat putar belit. Akhirnya jadilah kita rakyat Malaysia, rakyat putar belit.



Ke atas   Balik ke Laman Utama

"DETIK DAN Al - WASILAH SUDAH MATI!
HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN MEDIA"
PENERBITAN PEMUDA
24G, Jalan 4/21D, Medan Idaman, Gombak, 53100 Kuala Lumpur
Tel : 03-40243530 Faks : 03-4630372
lutfi_detik@hotmail.com