Oleh :
fudzail@visto.com
Siri Cerpen Unplugged 2
Ditulis di Dubai, United Arab Emirates dalam bulan Ogos 2000.
Dari suasana muram kompleks pejabat empat tingkat, Sri Fantasi itu, memang ramai dapat merasakan ada sesuatu, atau lebih perkara yang tak kena sedang berlaku. Terasa tidak meriah lagi. Sudah semakin berbau basi. Kalau tidak memualkan.
Mesyuarat bulanan pengurusan korporat juga terasa begitu plastik, rutin dan sandiwara dengan skrip tetap yang membosankan. Baca minit mesyuarat. Kemudian mengulas sedikit sebanyak. Tidak banyak keputusan yang boleh dibuat. Miunum kopi. Makan kuih. Tulis nota. Lukis kartun. Semua diiyakan. Semua Yes-men. Tengok jam.Tutup mesyuarat.
Tidak banyak yang boleh dibuat kerana dalam keadaan kewangan yang terus meruncing, apa yang boleh dilakukan selain berbual kosong? Untuk bercerita tentang promosi program pun agak janggal. Setiap perbelanjaan bermakna menambahkan hutang baru. Hutang lapuk sudah masuk dalam buku Danabail-out. Hutang baru untuk membayar gaji sahaja sudah masuk kategori hampir lapuk.
"Cerita pasal hutang bil telefon dan air yang berjuta jumlah sudah masuk parlimen….." Komen sepatah dari Pengurus Kanan Kewangan, Encik Balaci dengan sedikit takut sebaik keluar mesyuarat. Tiada dalam minit dan tidak akan masuk dalam agenda kerana itu boleh menjejaskan air muka. Apalagi bila pengurusan baru yang mempunyai kabel terus dengan penghuni mahligai airmata rakyat di Kronijaya sudah berjanji untuk selesaikan secara pintu belakang. Atau secara kasarnya, secara meliwat dana rakyat.
Hanya ketawa yang terdengar. Pengurus lain yang sedang menanti peluang untuk cabut dari Sri Fantasi dan bekerja dalam dunia realiti memang tidak akan dapat berbuat apa-apa. Gaji mereka pun mungkin dipotong lagi. Kereta syarikat juga boleh ditarik balik. Dari Perdana mungkin bertukar Kancil. Memang begitu meruncing keadaan kewangan di Sri Fantasi. Nama sahaja glamour dan sensasi di stesen swasta yang terkenal di Darul Boleh.
Encik Balaci yang selama ini dibayangi oleh Encik Dugong, pengurus besar korporat yang bertaraf keparat memang masih dengan sifat penakutnya. Dugong telah dibuang kerja oleh tokey baru kerana kedugongannya. Hanya tahu menghabiskan duit syarikat dan bersikap firaun dengan para pekerja.
"Jangan bimbang, 2/3 di Parlimen adalah geng-geng kita, siapa berani tutup stesen TV kroni!" Jawab Pengurus Berita, Encik Tammil Warrior, anak Jawa yang memang dilantik sebagai pengampu dan pembelit utama melalui siaran berita saban malam, "Merapu Utama" itu. Dianggap sebagai 'warrior' kerana berani memutar-belitkan apa sahaja demi kepentingan kaum kerabat Maharaja Darul Boleh.
Cakapnya memang tidak boleh dipercayai seperti mana lapuran berita yang direka-rekanya sebagai sajian. Tetapi identitinya itu adalah biodata dan taraf kelayakan yang menjadikan dia berharga buat Maharaja di Kronijaya. Karangan beritanya melampaui taraf kreatif, boleh memenangi hadiah sastera, bukan hadiah kewartawanan.
Habis di situ dialog anti-klimaks antara pengurus. Masing-masing terus kembali ke pejabat. Minit mesyuarat pun akan difailkan. Minit baru akan diemelkan. Kemudian difailkan. Ulangan dari rutin pengurusan yang semakin kurus oleh kebimbangan dan kegusaran.
Di pejabat Pengarah Urusan, suasana lebih ceria. Ketawa berdekah-dekah. Bagai suasana studio dalam pembikinan sebuah sitcom terbitan TV3/4 yang terus popular, 'Senakria". Komedi slapstik bercampur lucah dan lawak bodoh yang sedikit sebanyak memberi sedikit nafas.
Encik Barua terus duduk dikerusi empuk buatan Itali.
Di belakangnya berderet buku-buku pemasaran, sukan ragbi dan agama. Agak menonjol diantara koleksi ilmunya itu ialah buku yang menjadi rujukan utamanya, "Hadis - Satu Penilaian Semula".
"Kita perlukan format baru dalam jatidiri stesen TV3/4 ini!" Kata Encik Barua sambil menghisap rokok. Dia bangun menuju ke peti sejuk di sebelah kanannya. Mengambil sebotol bir jenama antarabangsa.
Satu kebiasaan yang memberikan dia ilham atau inspirasi untuk menguruskan syarikat. Kerana itu dia selalu berjenaka tentang asal keturunannya dari Timur Tengah. Nama keluarganya bukan Al-Idid, Al-Habshee, Al-Yameni, tetapi Barua Al-Kohol.
Memang tidak lucu, tetapi Encik Barua tidak kisah. Itulah hidupnya. Sebagai warga korporat yang diangkat melalui kronisme dan ampuisme, dia adalah sebahagian dari elit yang tidak boleh disentuh oleh undang-undang. Selagi dia bernaung dibawah Maharaja dan menjadi yes-man. Selagi dia berjuang diatas nama perut dan Maharaja.
"Pertamanya kita mesti menukar branding!"
Encik Barua meneguk birnya lagi. Kuat sedawa dan sedu. Asap dan alcohol berlawan-lawan dalam kerongkong.
"Kita hanya siarkan program-program bercorak komedi, humor dan lawak. Tentu rating akan naik serta-merta. Lebih banyak pengiklan dan agensi akan masuk. Tengok sahaja senarai top-ten program, semua cerita komedi!"
Memang dia perlu berbuat sesuatu untuk menyelamatkan keruncingan kewangan stesen TV yang pernah menjadi terkini dan sensasi. Setelah pemboikotan besar-besaran oleh golongan yang dianggapnya. "bodoh, tuli dan anti-patriotisme dan anti-nasionalisme", rating semua siaran terutama berita "Merapu Utama" telah jatuh. Tidak lagi menjadi perdana, sudah bertaraf kancil juga. Malah mungkin kapcai sahaja.
"Kita tukar slogan juga, TV3/4 - Dunia Lawak Anda!"
Encik Barua ketawa berdekah-dekah. Memenuhi pejabatnya yang sudah separuh kosong. Dengan kotak-kotak yang telah bersedia untuk mengangkut harta peribadinya. Dia ketawa lagi sambil mengoyak-ngoyak surat yang baru diterima selepas mesyuarat pengurusan korporat tadi.
Cebisan surat notis pemberhentian kerja 24 jam itu berterbangan memenuhi pandangan.