Oleh :
fudzail@visto.com
Siri Cerpen Unplugged 2
Ditulis di Dubai, United Arab Emirates dalam bulan Ogos 2000.
Berpakaian rasmi yang lengkap bukan satu masalah bagi Tengku Mahkota. Itu perkara biasa. Sudah menjadi rutin seorang bakal Sultan. Sejak kecil diajar dan diasuh dengan protokol.
Sebab itu beliau tidak janggal. Malah semakin selesa dengan pakaian rasmi yang menjadi warisan negara. Semakin bergaya walau perutnya sedikit buncit. Perkara biasa juga bila sudah meningkat umur.
Beliau merasa agak janggal bukan kerana pakaian. Perasaan ini telah agak lama bercambah. Telah meluap-luap. Ada menyampah. Ada meluat. Ada pahit. Ada masam. Ada basi.
Tetapi beliau tidak banyak pilihan. Mesti juga pergi ke jamuan merdeka. Bukan sahaja kerana upacara rasmi negara, tetapi kerana banyak perkara sensitif. Mesti hadir. Boleh masuk hukum wajib dan kira berdosa kalau tidak dibuat.
Tidak munasabah untuk mengambil MC sebagai alasan tidak hadir. Lagipun beliau paginya berada di padang perbarisan bersama rakyat jelata. Baru juga bersama kanak-kanak cacat dalam jamuan teh sempena hari Merdeka.
Beliau mengeluh. Sambil melihat gambar-gambar kerabat diraja yang telah lama menjadi simbol pemerintahan negara. Tuk nenek moyangnya semuanya Sultan. Tiada yang Sultan melainkan Sultan belaka.
Semakin hari semakin menjadi simbol semata-mata. Simbol yang semakin tidak glamour dan sensasi. Malah ada artis yang sudah terang-terang tidak rasa glamour bercinta dengan kerabat diraja. Bila ramai jutawan baru yang lebih kaya dan glamour dari kerabat diraja.
Tengku Mahkota tahu yang dia bakal menjadi Sultan yang sudah hilang banyak kuasa. Kuasanya hanya pada tengkolok, bukan lagi keris. Tengkolok tidak boleh buat apa-apa. Malah berat diatas kepala.
Beliau memandang anak lelaki sulungnya yang bakal menjadi Tengku Mahkota. Asyik dengan Sony playstation terbaru. Tidak menghiraukan apa-apa, hari merdeka atau tidak merdeka. Sama sahaja.
Tengku Puteri sudah bersiap, dengan pakaian berharga ribuan ringgit. Seperti biasa, tidak janggal untuk menjadi perhatian ramai. Dengan fesyen terbaru hasil pereka terkenal. Walau tiada yang baru, hanya kitar semula.
Tengku Mahkota segera menuju ke kereta. Mereka perlu berada di Istana Airmata Rakyat tepat jam 8.00 malam.
Dalam kejanggalan yang semakin biasa, Tengku Mahkota berbisik sendiri.
"Ya, mengadap dan menyembah Piem!"