Oleh :
CILI API
Cili Api bersetuju dengan pandangan ramai orang bahawa TPM Abdullah Badawi
seorang yang pengecut. Dalam laporan media secara besar-besaran pada 14
Februari, Dolah Badwi menuduh “seorang bekas anggota kabinet” telah menderma
sebanyak RM38 juta kepada pertubuhan Islam radikal di Amerika Syarikat.
Tetapi Dolah Badwi tidak berani menyebut nama bekas anggota kabinet itu
ataupun nama pertubuhan yang menerima wang tersebut.
Kata Dolah Badwi, sekarang beliau faham mengapa AS menuduh Malaysia terlibat
dengan keganasan antarabangsa. Dolah Badwi mendasarkan kenyataannya kepada
kononnya “pendedahan” yang dibuat oleh seorang ulamak yang kini bermustautin
di AS, bernama Shaykh Muhammed Hisham Kabbani. Shaykh ini pun tidak mahu
menyebut nama si pemberi dan si penerima wang itu. Ini kes si-pengecut
meniru si-penakut. Shaykh ini juga berkata wang bantuan inilah punca AS
menuduh Malaysia. Tetapi mengapakah selama ini perkara ini tidak pernah
timbul?
Cili Api mahu Dolah Badwi namakan siapa bekas anggota kabinet itu dan
pertubuhan radikal mana yang mendapat wang daripadanya. Jikalau beliau
mempunyai bukti yang cukup, sila ambil tindakan yang wajar. Sebaliknya,
jikalau ini hanya satu lagi fitnah, bersedialah dengan tindakan
undang-undang..
Mengapakah Dolah Badwi, seperti PM Dr M @ Cek Det, tidak habis-habis hendak
menabur fitnah ke atas mangsa kezaliman mereka? Tidak malukah terus menabur
fitnah kepada seorang yang tidak mempunyai kebebasan untuk menjawab? Inikah
dia amalan yang digalakkan oleh pemimpin-pemimpin dalam sebuah negara yang
mereka sudah isytihar sendiri sebagai “negara Islam”?
Cek Det dan Dolah Badwi memang terkenal dengan fitnah bercabang terhadap
seorang bekas ahli kabinet yang telah mereka zalimi. Untuk meyakinkan orang
Islam, mereka fitnah dan hukum beliau sebagai peliwat dan perasuah. Untuk
menarik perhatian para pemimpin AS, mereka tuduh beliau sebagai penyokong
kuat pertubuhan Islam militan. Untuk memikat hati orang-orang kuat di Negara
Ketiga, khususnya negara Arab yang anti-AS, mereka sebarkan dusta kononnya
beliau pro-AS, bahkan mungkin agen kepada kuasa imperialis itu.
Cili Api dapat lihat wajah sebenar Cek Det dan Dolah Badwi, yang nampaknya
masih dalam keadaan takut dan merasa terancam kedudukan. Mereka lebih buruk
daripada biawak. Biawak cuma mempunyai lidah bercabang dua. Tetapi mereka
bercakap dengan lidah yang lebih banyak cabangnya. Maklumlah, Malaysia
“negara Islam” serba boleh!