Oleh :
DR SYED HUSIN ALI
Akhir-akhir ini saya sering ditanya: “Mengapakah sokongan kepada BA semakin
merosot?” Sebelum menjawab soalan ini, perlu terlebih dulu kita menjawab
satu soalan lain, iaitu: “Benarkah sokongan kepada BA semakin menurun?”
Secara terus terang jawapan saya kepada soalan kedua ini ialah: “Benar.” Ini
keadaan sebagaimana yang saya dan banyak orang lagi lihat. Berbanding dengan
keadaan sebelum pilihanraya umum 1999, saya mengaku bahawa keghairahan serta
sokongan kepada BA sudah berkurang sedikit. Bukan saja di kalangan bukan
Melayu bahkan di kalangan Melayu juga.
Saya harap pengakuan ini tidak melemahkan semangat, bahkan saya percaya
ia akan menjadi dorongan supaya kita berusaha lebih gigih lagi untuk
memperbaiki keadaan. Hal ini memang perlu dilakukan dari sekarang, supaya
kekuatan BA bertambah meningkat. Ada perkara yang saya kemuka nanti mungkin
tidak menyenangkan sesetengah pihak. Tetapi niat saya ikhlas dan untuk
kebaikan bersama.
Jikalau benar BA semakin lemah, mengapa? Faktornya banyak. Di sini saya akan
membincangkan satu saja, iaitu faktor “persepsi” ataupun “anggapan”. Dalam
politik soal persepsi terhadap pemimpin atau parti sangat penting bagi
menentukan sokongan rakyat atau pengundi kepadanya.
Dua perkara boleh membentuk persepsi. Pertama, apa yang dilakukan oleh
pemimpin atau parti itu sendiri melalui segala amalannya, termasuk tindakan
dan kenyataan. Sudah tentu mereka hendak dan harus melakukan perkara-perkara
yang dipandang baik oleh rakyat mengikut nilai atau pemikiran yang wujud di
dalam masyarakat. Ertinya, mereka perlu menimbulkan persepsi atau imej yang
positif dan baik.
Kedua ialah apa yang dilakukan oleh pihak yang menganggap pemimpin atau
parti itu sebagai musuh. Biasanya, mereka melakukan apa saja yang boleh
memberikan gambaran keliru atau terpesong, dengan cara putar belit,
sehingga pemimpin dan parti itu dipandang negatif atau buruk oleh rakyat.
Mereka boleh merosakkan imej serta membina persepsi buruk terhadap pemimpin
atau parti itu melalui propaganda negatif, lalu menghakis kepercayaan serta
sokongan terhadap pemimpin dan parti itu.
Media merupakan alat propaganda yang penting. Seperti kita ketahui, saluran
media yang paling berkesan di zaman teknologi ini ialah televisyen.
Siarannya sampai sehingga hampir segenap rumah di segala ceruk negara, dan
mudah diikuti, walaupun oleh mereka yang tidak pandai membaca. Tidak kurang
juga peranan yang dimainkan oleh akhbar, walaupun ia terbatas kepada mereka
yang boleh membaca saja. Siapa yang menguasai media mudah boleh membentuk
persepsi mengenai dirinya dan terhadap orang lain.
Boleh dikata semua media elektronik dan cetak dalam pelbagai bahasa sekarang
ini dikuasai dan mudah diperalatkan oleh parti-parti dalam pemerintahan BN.
Dengan propaganda yang disalurkan bertubi-tubi melalui media yang dimiliki
atau dikuasai mereka, BN setakat ini berjaya membina persepsi negatif
terhadap BA. Pada masa yang sama mereka berjaya pula membina imej serta
persepsi positif mengenai para pemimpin dan anggota BN.
Ketika ini pucuk pimpinan BN menganggap bahawa PAS merupakan saingan terkuat
dan cabaran terbesar kepada UMNO. Berikutan pilihanraya umum 1999, PAS
menguasai dua negeri dan mendapat kerusi pembangkang paling banyak dalam
Parlimen. Ini tidak dirasakan paling mengancam bagi UMNO-BN ialah
parti-parti alternatif berjaya meraih lebih banyak undi Melayu daripada
UMNO.
Para pemimpin PAS mengakui bahawa isu Anwar dan kehadiran keADILan telah
membantu kejayaan besar PAS, bukan semata-mata di Kelantan dan Terengganu
saja pada tahun 1999. Mungkin tarikan isu Anwar sekarang tidak lagi sekuat
dulu. Kita semua pun menyedari bahawa kejayaan BN mempertahankan majoriti
dua pertiga dalam parlimen ialah kerana ia dapat menarik sokongan majoriti
pengundi bukan Melayu. Mungkin UMNO akan cuba pula menarik lebih lagi
sokongan Melayu.
Melalui propaganda hitam yang diulang-ulang dalam media utama, BN berjaya
menimbulkan persepsi bahawa kemenangan BA (yang kononnya dipengaruhi PAS)
akan menafikan hak-hak agama bagi orang bukan Melayu atau bukan Islam, dan
menimbulkan huru-hara. Meluas ketakutan di kalangan mereka ini sehingga
mereka mengambil keputusan bahawa “lebih baik menyokong hantu yang sudah
diketahui daripada menyokong hantu yang belum dikenali”.
Kini pucuk pimpinan BN sedang berusaha untuk mengalih sebahagian sokongan
yang diperolehi BA dulu kepada BN. Mereka percaya jikalau pengaruh PAS dapat
dikurangkan, maka BA boleh dilemahkan. Oleh itu mereka menumpukan sasaran
terhadap PAS dengan menggunakan berbagai-bagai taktik. Di samping
memburuk-buruk pimpinan PAS serta menuduh parti itu membawa ajaran sesat,
UMNO telah cuba memancing PAS supaya bekerjasama dengannya atas asas
perpaduan Melayu.
Selain itu secara persendirian yang tidak demokratik, tanpa merujuk kepada
Parlimen, Perdana Menteri mengisytiharkan Malaysia sebagai negara Islam.
Harapannya untuk mematahkan hujah serta tarikan PAS tentang negara Islam.
Semua usaha pimpinan UMNO ini ternyata gagal.
Peristiwa 11 September, diikuti dengan perisytiharan Presiden Bush memerangi
keganasan memberi peluang baru kepada pucuk pimpinan BN. Sebelum peristiwa
ini Menteri Dalam Negeri telah menahan beberapa orang aktivis muda keADILan
serta reformasi atas tuduhan palsu mereka hendak menjatuhkan kerajaan secara
kekerasan. Setelah itu beberapa orang lagi dituduh kerana kononnya terlibat
dengan KMM.
Selepas peristiwa tersebut, ramai lagi ditahan di bawah ISA kerana dituduh
terlibat dengan gerakan militan Islam, berusaha hendak menumbangkan kerajaan
BN dan menegakkan Dawlah Islamiah di Nusantara. Baru-baru ini majalah
Newsweek mendakwa bahawa salah seorang daripada yang ditahan itu mempunyai
hubungan dengan al-Qaeda. Seterusnya Malaysia menuduh Malaysia merupakan
tapak bagi melancarkan serangan terhadap WTC-Pentagon. Dr Mahathir meminta
mereka mengemukakan bukti. Sebaliknya beliau tidak merasakan perlu memberi
bukti atas segala tangkapan yang dilakukannya di bawah ISA.
Dalam suasana “perang menentang keganasan” yang dilancarkan oleh Bush dan
penggunaan ISA oleh Mahathir, pemerintah BN mengambil kesempatan untuk
menimbulkan persepsi yang menakutkan terhadap PAS. PAS disamakan dengan
Taliban. Sebelum Indera Kayangan, dan lebih-lebih lagi semasa pilihanraya
kecil itu, televisyen menunjukkan kezaliman Taliban menembak mati seorang
wanita. Secara tidak langsung ia mengaitkan sikap Taliban terhadap wanita
dengan beberapa kenyataan yang dibuat oleh para pemimpin PAS.
Propaganda dusta serta fitnah ini diteruskan bertubi-tubi hingga sekarang,
kononnya sebagai berita. Kami memuji DAP kerana membantah propaganda ini.
Tetapi sebaliknya, kami merasa kurang senang kerana serangan terbuka yang
diulang-ulang oleh DAP terhadap PAS berhubung negara Islam hanya membantu
propaganda hitam UMNO-BN melalui media itu. Itu sebab media yang dimiliki
atau dikuasai parti-parti pemerintah gembira memberikan liputan yang luas
kepadanya.
Sebenarnya, serangan UMNO-BN dan kritikan DAP terhadap PAS itu mempunyai
asas juga. Kadangkala ada pemimpin PAS yang mengeluarkan kenyataan yang
kurang hati-hati yang ditujukan hanya untuk orang Islam. Kita mengetahui dan
menghormati matlamat jangka panjang PAS untuk menegakkan negara Islam.
Tetapi kita mengetahui juga bahawa pimpinan PAS menyedari bahawa dalam
keadaan sekarang, tidak realistik menjadikan pembentukan negara Islam itu
sebagai agenda utama PAS.
Itu sebabnya PAS bersetuju mendukung Manifesto Bersama BA Menuju ke Malaysia
Yang Adil. Malangnya manifesto ini belum menjadi panduan utama kepada
parti-parti dalam BA pada peringkat perkembangan politik hari ini. Masih ada
pemimpin BA, khususnya PAS, mengemukakan berbagai pandangan tentang isu-isu
berkaitan dengan pembentukan negara Islam, yang bercanggah dengan manifesto
tersebut. Inilah yang menimbulkan kritikan daripada DAP.
Dengan keluar dari BA dan mengkritik PAS, kelihatan DAP cuba hendak
mempertahan serta meluaskan sokongan tradisional kepadanya daripada
golongan Tionghua terutama sekali. Begitu juga sebaliknya ada pemimpin PAS
yang cuba mempertahankan dan meluaskan sokongan tradisional daripada
masyarakat Melayu/Islam kepadanya. Secara terbatas ini boleh menguntungkan
kedua-dua parti berkenaan. Akan tetapi ia tidak akan membantu meningkatkan
lagi prestasi parti-parti
pembangkang secara keseluruhan dalam pilihanraya akan datang.
Perbezaan bahkan pertentangan ini memberikan persepsi buruk kepada
kebanyakan orang Melayu/Islam terhadap DAP, dan sebaliknya persepsi negatif
terhadap PAS dari majoriti orang bukan Melayu dan bukan Islam. Hal ini
membantu menguatkan lagi persepsi negatif terhadap semua parti pembangkang,
khususnya PAS. Oleh kerana perlu perbezaan dan pertentangan ini diselesaikan
melalui perbincangan, akan tetapi bukan melalui media.
Baru-baru ini Pengerusi DAP mengesyorkan, malangnya melalui media juga,
supaya parti-parti alternatif duduk berbincang. Presiden PAS meminta supaya
beliau menulis surat, supaya boleh dibentangkan kepada Majlis Pimpinan BA.
Saya kira, untuk mendapatkan hasil yang berfaedah, semua pihak hendaklah
berhenti serang menyerang dan menyatakan perkara-perkara yang bercanggah
dengan semangat Manifesto BA.