KAMI bertemu Rais Yatim
Oleh - Wartawan Detikdaily
Jurucakap Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) Ahmad Lutfi Othman telah mengadakan perjumpaan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato' Dr. Rais Yatim bagi membincangkan masalah kebebasan media di negara ini.
Turut hadir bersama beliau dalam pertemuan sejam di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pada jam 12.00 tengahari, 13 November itu ialah bekas penolong pengarang Wasilah, Muhammad Nor Abd. Samad dan penerbit majalah politik, Surya Janib.
"Pertemuan berlangsung dalam keadaan yang positif dan mesra. Kami membincangkan soal halangan yang sering dihadapi oleh pengamal media di negara ini terutama pengamal media yang pro-kerajaan," kata Lutfi.
Beliau berkata, salinan memorandum KAMI kepada Suhakam dan memorandum yang ditandatangani lebih 1000 orang wartawan Malaysia kepada Menteri Dalam Negeri, turut diserahkan kepada Rais dalam pertemuan itu.
"Kita mahu menjelaskan bahawa masalah kekebasan media di negara ini bukan dihadapi oleh pengamal media yang pro-pembangkang sahaja, malah semua yang terlibat dalam industri itu," jelasnya.
Menurut Lutfi, Rais pada hakikatnya mengakui bahawa Akta Percetakan dan Penerbitan yang ada membebankan, justru, beliau berjanji akan membawa perkara itu ke kabinet.