KDN Semakin Liar Merampas Makalah Politik

Oleh - Editor Detikdaily

KUALA LUMPUR: Usaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) menekan penerbit makalah politik semakin memuncak apabila lapan pegawai penguatkuasa kementerian itu menggeledah masuk kilang percetakan majalah politik tidak berkala "Editor Suria Janib", terbitan Penerbitan Hemah, beberapa hari yang lalu.

Bagaimanapun difahamkan pihak penguatkuasa itu tidak menjumpai sebarang majalah yang dicari.

Syarikat Herald Printers yang beroperasi di Bandar Baru Sungai Buloh dikatakan mencetak makalah politik berkenaan. Menurut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, pencetak juga boleh dihukum jika disabitkan kesalahan mencetak bahan-bahan penerbitan yang memerlukan permit terlebih dahulu sebelum ia boleh dicetak.

Tidak berapa lama dulu, persatuan pencetak Malaysia telah memohon kepada Menteri Dalam Negeri agar mereka dikecualikan daripada Akta Mesin Cetak, yang terkenal menzalimi dan menindas dunia penerbitan negara ini.

Tindakan KDN terhadap makalah-makalah politik tidak berkala ini bukannya tindakan mengejut kerana difahamkan pihak KDN akan cuba memastikan bahan-bahan yang tidak selari dengan kepentingan politiknya tidak lagi beredar di pasaran.

Unit Penguatkuasa KDN telahpun menambah kakitangan mereka berlipatkali ganda, bukannya untuk membanteras video atau bahan-bahan lucah tetapi lebih bertujuan mematikan suara-suara kritik terhadap kezaliman politik Barisan Nasional.

10 November lalu, jam 3:56 petang, seramai 13 orang pegawai penguatkuasa KDN merampas 640 Islah, yang diterbitkan Penerbitan Pemuda, atas alasan tabloid itu tidak mempunyai permit penerbitan yang sah.

Dan pada 22 November ini, pengurus Penerbitan Pemuda akan dihadapkan ke mahkamah majistret Kuala Lumpur atas tuduhan menjual bahan-bahan yang tidak mempunyai permit.

Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) giat mengatur pertemuan dengan tokoh-tokoh masyarakat dan juga Suhakam agar halangan dan kongkongan terhadap kebebasan media ini dihapuskan segera.

Dalam pertemuan dengan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Ustaz Fadzil Noor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Rais Yatim, jurucakap KAMI, Ahmad Lutfi Othman menimbulkan isu kekangan yang semakin melampau ini.

"Saya terkilan kerana sehingga kini pihak Suhakam masih belum membuat apa-apa kenyataan terhadap kebebasan media di negara ini. Tidak cukupkah dengan insiden pengharaman Detik, Eksklusif dan Wasilah serta rampasan makalah-makalah politik tidak berkala ini," kata Lutfi.


PENERBITAN PEMUDA
24G, Jalan 4/21D, Medan Idaman, Gombak
53100 Kuala Lumpur
Tel : 03-40243530 Faks : 03-4630372
lutfi_detik@hotmail.com

"DETIK DAN Al - WASILAH SUDAH MATI!
HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN MEDIA"