Rampasan ISLAH Oleh KDN

Oleh - Wartawan Detikdaily

KUALA LUMPUR: Aliran, dalam kenyataannya bertarikh 11 Nov 2000 mengutuk keras tindakan rampasan tanpa waran ke atas Islah oleh KDN tempohari, satu tindakan yang jelas menggambarkan sikap sebenar kerajaan terhadap kebebasan akhbar.

"Mereka menggunakan alasan tiada permit untuk merampas, sedangkan editor Islah bertegas tiada permit diperlukan keran ia sebuah penerbitan tidak berkala," kata pen. setiausaha Aliran, Dr. Mustafa K. Anuar.

"Kami menganggap tindakan KDN menggunakan kuasa kekerasan tanpa sebarang penjelasan menggambarkan sikap bongkak mereka dalam menekan kebebasan akhbar. Kerajaan BN sedang memperolokkan kebebasan dan menyalahgunakan proses demokrasi. Mereka nampaknya memiliki segala kebebasan untuk berbuat apa saja tanpa mendapatkan kebenaran, sedangkan pihak lain dikehendaki supaya memohon kebenaran yang pasti akan dinafikan," jelas beliau

Beliau mempersoalkan tindakan kerajaan pada saat rakyat yang patuh kepada undang-undang berhasrat untuk berperanan dalam peruntukan yang dibenarkan telah dihalang untuk berfungsi kerana arahan yang bermotif politik - sebagaimana kes Penerbitan Pemuda yang sekian banyak permohonan permit penerbitannya ditolak tanpa sebarang alasan - bagaimana lagi seorang rakyat yang patuh hendak berperanan secara yang sah dan demokratik?

"Amat perlu sekali untuk Menteri dalam Negeri untuk memikirkan perkara ini dengan cermat dan teliti," gesa beliau lagi.


PENERBITAN PEMUDA
24G, Jalan 4/21D, Medan Idaman, Gombak
53100 Kuala Lumpur
Tel : 03-40243530 Faks : 03-4630372
lutfi_detik@hotmail.com

"DETIK DAN Al - WASILAH SUDAH MATI!
HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN MEDIA"