KDN mengganas merampas bahan penerbitan sekitar Masjid India, Kg Baru, Pudu Raya, Gombak
Oleh - Wartawan Detikdaily
KUALA LUMPUR, 6:30 petang, 22 Nov 2000: Unit Penguatkuasa KDN dilaporkan sedang giat merampas bahan-bahan penerbitan reformasi yang dikatakan tidak berlesen termasuk akhbar tabloid, majalah, kaset dan video serta VCD di sekitar Pudu Raya, Masjid India, Kampung Baru dan kawasan Gombak.
Menurut seorang pemanggil dari Pudu Raya, banyak kedai menjual bahan-bahan berkenaan terpaksa ditutup sertamerta bagi mengelak tindakan ganas dan tidak bertamadun KDN itu. "Kali ini KDN cukup tidak bertimbangrasa. Mereka lebih berani kerana dibantu pihak polis," dakwanya.
"Saya terpaksa tutup kedai lebih awal kerana dimaklumkan pegawai KDN akan 'menziarahi' kedai saya," kata seorang pekedai di Jalan Pahang.
Detikdaily juga menerima panggilan telefon menceritakan hal yang sama sambil mengutuk tindakan keras KDN itu.
Kami akan melaporkan dari masa ke semasa perkembangan terbaru.
KDN lawan Penerbitan Pemuda, 22 Januari 2001
KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menetapkan perbicaraan ke atas Pengurus Pemasaran, Penerbitan Pemuda, Zabidi Morad, pada 22 Januari 2001. Zabidi dituduh atas kesalahan di bawah Seksyen 5(1)(a) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, iaitu menjual akhbar tanpa permit penerbitan bertajuk Haraki.
Zabidi yang diwakili Peguam Hanipa Maidin mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Hazizah Kassim selepas tuduhan dibacakan kepadanya pada pagi 22 November 2000.
Pada 9 Mei lalu, jam 1.10 petang, sekumpulan lima pegawai Unit Kawalan Penerbitan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas sebanyak 545 naskhah Haraki, sebuah penerbitan politik tidak berkala dalam bentuk tabloid, dengan tajuk muka depan "BLACK 14 CAPAI TARGET" di premis Penerbitan Pemuda, 24G, Jalan 4/21D, Medan Idaman, Gombak, Kuala Lumpur.
Haraki diterbitkan oleh Ahmad Lutfi Othman selepas majalah dua kali sebulan, Detik, diharamkan KDN. Namun ia hanya terbit sekali sahaja.
"Saya tetap beranggapan mana-mana makalah yang terbit hanya sekali dan tidak bersiri, tidak memerlukan permit penerbitan. Soalnya, selain itu apa pilihan yang saya ada, selepas majalah Detik dan Wasilah yang mempunyai permit diharamkan tanpa sebarang alasan. Lebih dahsyat lagi, semua permohonan saya untuk mendapat permit penerbitan ditolak mentah-mentah," kata Ahmad Lutfi, yang juga Pengarah Urusan Penerbitan Pemuda.
"Saya harap dapat membangkitkan isu kebebasan media di negara ini secara lebih menyeluruh dalam perbicaraan kes Zabidi nanti. Banyak pihak masih belum mengetahui tekanan dan kongkongan yang dikenakan," kata beliau lagi.