KAMI Bantah Keganasan
Terhadap Wartawan
Oleh Ahmad Lutfi
Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) mengecam tindakan polis yang merampas
kamera seorang wartawan Malaysiakini.Com dan mengambil disket (filem) yang
mengandungi foto-foto perhimpunan di Lebuhraya Kesas pada Ahad 5 November lalu,
termasuk foto tentang kecederaan di kepala seorang peserta perhimpunan tersebut
- dipercayai dikasari oleh pihak berwajib ketika menyuraikan perhimpunan besar
itu.
Sebagai pihak yang bertanggungjawab, polis mestilah bertindak secara profesional
dan tidak cuba memusnahkan rakaman foto atau menghalang tugas wartawan yang
dijalankan dengan dedikasi dan jujur untuk menyampaikan maklumat yang benar.
Polis, media dan orang ramai semuanya memerlukan maklumat yang benar untuk
menjamin kecemerlangan kehidupan sosial di negara ini.
KAMI juga menggesa dengan sesungguhnya kepada orang ramai, peserta perhimpunan
dan penyokong parti politik agar memberikan kerjasama kepada semua "wartawan
tulen" yang bertugas dan tidak mengapa-apakan mereka atau mengganggu tugas
mereka.
Menurut laporan akhbar New Straits Times hari ini ("NUJ regrets attacks on
journalists at illegal assembly, halaman 9), beberapa wartawan dan jurugambar
dari Berita Harian, Utusan Malaysia dan agensi berita Reuters pula diserang oleh
kumpulan-kumpulan orang yang dikatakan "perusuh." (rioters).
Sikap kasar dan tidan mengkut undang-undang (lawless) seperti ini, khususnya
daripada anggota polis sendiri, merupakan satu bentuk ancaman dan sekatan serius
terhadap kebebasan akhbar.
Oleh itu, KAMI menyeru kepada parti-parti politik atau penganjur sebarang
perhimpunan agar mengawal keadaan dan mengamalkan kawalan diri (self-restraint).
Walaupun kecurigaan orang ramai wujud nyata terhadap agen-agen provokasi dan
"pengintip" yang bersembunyi di sebalik kad akhbar (kononnya mereka itu
wartawan) di dalam kumpulan peserta perhimpunan, mereka hendaklah bertindak
mengikut lunas undang-undang dan demokrasi.
Jika mereka tidak teliti dan sabar, wartawan yang tulen akan menjadi mangsa dan
akan merugikan kegiatan politik mereka sendiri, khususnya pembangkang yang tidak
mempunyai akses (access) kepada media massa.
Walaupun mungkin terdapat asas-asas tertentu mengapa orang ramai bertindak kasar
terhadap wartawan (misalnya Berita Harian dan Utusan Malaysia) tetapi keputusan
untuk menyiarkan foto atau berita atau memutar-belitkan berita tidak dibuat oleh
wartawan dan jurugambar yang bertugas di tempat kejadian. Keputusan itu dibuat
oleh pengarang-pengarang berita dan orang kuat akhbar di bilik berita
masing-masing.
Oleh itu, kekasaran terhadap wartawan dengan apa cara sekalipun boleh dikira
sangat tidak wajar.
Selain itu, KAMI menggesa wartawan yang mengalami sebarang bentuk gangguan atau
ancaman fizikal ketika membuat liputan pada hari itu agar membuat laporan polis
supaya pihak berwajib boleh menjalankan siasatan dengan kadar yang segera.
Ahmad Lutfi Othman
Jurucakap KAMI
Telefon pejabat: 40230175
Telefon tangan: 019-3722079
Fax:40220450
Alamat: 24, Jalan 4/21D,
Medan Idaman, Gombak, Kuala Lumpur