Oleh : ROSMIDA ABD RAHMAN
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo disifatkan sebagai cuba berselindung atau 'melarikan diri' kepada persoalan lain, kerana tidak mempunyai hujah yang munasabah bagi menjawab dakwaan-dakwaan Ahmad Lutfi Othman seperti yang terkandung dalam laporan BPR terhadapnya.
Melalui wawancara khas dengannya dalam akhbar Mingguan Malaysia baru-baru ini, "Khir cuba berselindung dan mempertahankan dirinya, tetapi kenyataannya tidak menyakinkan dan keterangannya tidak jelas," kata Dr Shafie Abu Bakar, ADUN Kajang.
Beliau menyarankan kepada Khir Toyo supaya segala pembuktiannya mestilah disertakan dengan pihak yang terlibat, seperti JKR. "Tanpa mengemukakan sebarang dokumen yang boleh dirujuk, Khir boleh mendakwa apa sahaja. Malah Khir boleh berbohong," katanya.
Mengulas kenyataan Khir mengenai kelulusan tanah sebanyak 5,000 ekar, Dr Shafie berkata: "Ini satu jumlah yang besar. Walaupun beliau menyebut sekadar meluluskan permohonan lama, namun ia perlu diberi penelitian sewajarnya. Bukan secara melulu meluluskan tanah."
Memandangkan tanah di Selangor begitu terhad dan harga begitu tinggi, "tiba-tiba Menteri Besar meluluskannya dengan jumlah begitu besar. Ini menunjukkan ada unsur-unsur penyelewengan telah berlaku," tegasnya lagi.
Menyentuh dakwaan Khir yang mengatakan ada orang tertentu telah diupah untuk menyebarkan fitnah ke atasnya, Shafie berkata: "Sepatutnya Khir Toyo berlapang dada jika semua yang dibuat oleh Lutfi itu bohong semata-mata. Khir tidak sepatutnya menuding jari tidak tentu pasal pada orang lain."
Turut melahirkan tidak puashati dengan penjelasan Khir Toyo, ADUN Sungai Besar, Ustaz Sallehen Mukhyi menyifatkan penjelasan tesebut tidak meyakinkan. "Sebaliknya ia menambahkan lagi lumpur yang telah banyak terpalit pada tubuhnya," katanya.
Hakikatnya, tegas Sallehen, Khir tidak menjawab persoalan utama, misalnya pemberian projek kepada syarikat Meram Holdings, dan individu-indivudu yang diluluskan berpuluh ekar tanah tanpa pengetahuan mereka.
Merujuk penjelasan Khir dalam wawancara berkenaan beliau berkata, "Jelas menunjukkan Khir seorang yang ego dan sombong."
Katanya lagi, Khir menuduh ada pihak mengupah orang tertentu untuk memfitnah dirinya. "Perkara ini adalah laporan BPR," hujah Sallehen, "Ini bukan rekaan, tetapi bepandukan fakta-fakta. Kita berani timbulkan kerana sehingga kini Khir tidak menafikannya, tetapi melencong isu lain."
Beliau merujuk isu tanah Dr Hassan Ali yang digembar-gemburkan oleh Khir, yang katanya tiada kaitan langsung dengan isu yang sedang hangat diperkatakan oleh rakyat Selangor.
Sementara itu Ketua Dewan Muslimat PAS Selangor, Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan menyifatkan penjelasan Khir itu "sekadar meraih simpati rakyat dengan bunga-bunga bahasanya."
Wan Hasrina menyatakan, PAS Selangor tidak akan berdiam diri membiarkan Khir Toyo memunggah segala khazanah Selangor dengan mudah. "PAS Selangor berusaha mengadakan penerangan dalam ceramah kelompok," katanya.
Namun beliau tidak menafikan kesukaran yang dihadapi pihak pembangkang, apabila rakyat kampung diugut oleh BN tidak akan diberikan baja atau tanah jika menyokong pembangkang. Ugutan ini menimbulkan ketakutan di kalangan masyarakat kampung, khususnya golongan susah.
Kenyataan Khir yang mengatakan tidak ada kerusi PAS di Selangor dalam pilihanraya 2004 nanti, mengikut Wan Hasrina, jelas menunjukkan sikap Khir yang bongkak dan sombong.
"Beginikah sikap seorang pemimpin yang merendah diri? Sikap besar diri dan takbur penuh dalam dirinya. Sedangkan isu sebenar dakwaan rasuah ke atasnya tidak diperjelaskan sebenar-benarnya," tegasnya.
Menyentuh isu tanah Datuk Dr Hassan Ali yang ditimbulkan Khir,
Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Selangor, Haji Mohsinon Haji Tahir berkata, "Khir sengaja membesar-besarkan isu yang tiada kaitan langsung. Lagipun, isu tanah Dr Hasan Ali mengikut prosedur yang betul."
Mohsinon menyelar sikap Khir yang keterlaluan menuduh ada pihak tertentu mengupah orang memfitnahnya. "Sudahlah tuduhan ke atas dirinya tidak diperjelaskan dengan baik, kemudian besar diri pula," katanya.
"Sebagai ketua kerajaan," kata Mohsinon, "Khir mesti lebih bertanggungjawab dan tidak boleh lepas tangan begitu sahaja."