Khir Toyo bukan gila kuasa tapi tak tahu batasan kuasa

Oleh : KAKEK

Dr Mohd Khir Toyo mengatakan ia tidak pernah mengganggu bidang kuasa pegawai-pegawainya. ”Kita kena percaya pegawai-pegawai… jangan sampai kita hendak semua benda hingga dikatakan gila kuasa.”

Demikian penafian Menteri Besar Selangor itu ketika menjawab soalan Dr Hasan Ali dalam persidangan DUN Selangor tempoh hari. Dalam sidang itu, isu dakwaan rasuah terhadapnya dibangkitkan Dr Hassan secara panjang lebar.

Penulis ramai bertemu dengan pegawai-pegawai kerajaan Negeri Selangor dan juga ahli-ahli Umno. Ramai pegawai kerajaan negeri selalu menceritakan kerenah MB mereka. MB muda yang bertenaga ini cara kerjanya sangat berbeza dengan bekas MB-MB Selangor yang lalu.

Mereka mengeluh bahawa mereka sangat susah melayan kerenah MB Khir Toyo. Kesimpulannya mereka berpendapat bahawa Khir Toyo adalah MB Selangor yang paling tidak tahu dasar-dasar kerajaan negeri, kerajaan persekutuan terutama dalam prosedur meluluskan satu-satu projek.

Apa yang pegawai kerajaan negeri selalu terima adalah merupakan arahan atau keputusan yang dibuat sendiri oleh Khir Toyo. Antara memo yang sering diterima oleh kakitangan kerajaan negeri Selangor, baik di Shah Alam atau di Pejabat Daerah, Majlis Daerah dan Majlis Perbandaran adalah:

LULUSKAN DENGAN SEGERA
SILA BUAT TINDAKAN SEGERA.
SILA BERIKAN PERHATIAN
DISOKONG.SILA BUAT TINDAKAN.

Ini adalah antara memo atau arahan Khir Toyo kepada pegawai kerajaan negeri. Jika ada catatan memo seperti DILULUSKAN untuk satu-satu permohonan, apakah ada pegawai yang berani mengenepikan atau membakul sampahkan memo itu?

Justeru itu apakah permohonan tanah di Bukit Cherakah dan Kuala Langat yang menjadi kontroversi dan pertikaian sekarang ini TIDAK mendapat arahan yang sedemikian rupa daripada Khir Toyo?

Khir Toyo juga telah meluluskan cadangan permohonan projek perikanan sebanyak RM 2juta kepada seorang nelayan. Permohonan itu telah diserahkan kepada Jabatan Perikanan Negeri dan dipanjangkan kepada Menteri Pertanian.

Menteri berkenaan tidak senang dengan tindakan Khir Toyo sebab peruntukan itu adalah peruntukan Persekutuan bukan peruntukan negeri. Padahal bidang kuasa kelulusan peruntukan persekutuan bukan dalam bidang kuasanya selaku pentadbir negeri.

Pernah seorang Bendahari Umno Bahagian berpendapat bahawa Khir Toyo memang tidak gila kuasa tetapi dia tidak tahu kuasa orang lain yang berdasarkan kepada peraturan kerja dan cara kerja jabatan kerajaan. Khir Toyo mungkin berfikiran bahawa MB Selangor boleh buat apa saja dan merasakan bahawa wang dan tanah negeri Selangor ini telah menjadi milik keturunannya. Apa saja dia boleh lakukan walaupun bertentangan dengan peraturan.

Pemimpin itu juga berpendapat bahawa ketika Dato’ Abu Hasan menjadi MB Selangor masih ada sisa-sisa ketelusan memberikan tanah dan memberikan projek kepada rakan-rakan dalam Umno. Masih ada saki baki etika kerja, katanya. Tetapi Khir Toyo telah menambahkan lagi onar dan duri yang sudah tepu dalam Umno sekarang ini.

Ada permerhati politik berpendapat bahawa ada dalang yang lebih berperanan dalam tindakan dan cara Khir Toyo mentadbir Selangor. Antara yang berperanan adalah Setpolnya, Dr Karim Mansor. Disamping itu peranan bekas MB Selangor Muhamad Muhamad Taib, selaku Ketua Perhubungan Umno Selangor tidak boleh diketepikan.

Ketua Kg Sg .Yu, di Kuala Selangor pernah menceritakan bahawa bekas MB Selangor Mohamad Taib menawarkan untuk menolongnya dan menyokong mendapatkan mana-mana tanah dalam Negeri Selangor.

Tawaran ini berlaku di Masjid Kg Sg Yu ketika lawatan MB, Khir Toyo dan bekas MB, Mohamad Taib pada awal November 2001. Apa jawatan bekas MB itu dalam pentadbiran Negeri Selangor sehingga sanggup menjanjikan pemberian tanah kepada ketua kampung?

Juga beberapa ketika dulu dimana sebuah sekolah di Rawang dipaksa ditutup atas arahan MB Selangor, Khir Toyo tetapi setelah pihak pentadbir sekolah berjumpa bekas MB, Mohamad Taib, maka sekolah berkenaan dibenarkan beroperasi kembali.

Jelas lagi terang sekarang ini bahawa Khir Toyo adalah boneka kepada orang-orang yang lebih berkuasa di Selangor dan Malaysia. Memang Khir Toyo bodoh dan dibodohkan oleh Setpolnya.

Tetapi Khir Toyo juga berpendirin bahawa yang penting "aku jadi kaya raya walaupun setahun dua jadi MB Selangor. ”I don’t care apa orang kata," kata Khir Toyo.



Top   Home

"DETIK DAN Al - WASILAH SUDAH MATI!
HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN MEDIA"
PENERBITAN PEMUDA
24G, Jalan 4/21D, Medan Idaman, Gombak, 53100 Kuala Lumpur
Tel : 03-40243530 Faks : 03-4630372
lutfi_detik@hotmail.com