OLEH :
KAMARUDIN MUSA
Tindakan JAIS mengarahkan penutupan PASTI merupakan satu
tindakan yang mewarisi pemikiran bebal dan sekaligus memperlilhatkan
hilangnya kecerdikan intelektual di kalangan pihak tertentu di JAIS.
Membuat arahan "tutup" tanpa adanya penyiasatan yang rapi, teliti
dan "tidak memihak", memperjelaskan bahawa arahan yang dikeluarkan
oleh JAIS adalah satu arahan "buta" yang menggambarkan ketidakpekaan
JAIS terhadap realiti pendidikan yang dilaksanakan di PASTI.
Soal mengajar anak-anak "membenci pemimpin", adalah satu mitos
yang digembar-gemburkan oleh para pemimpin Umno, berpunca dari
konsep diri yang rendah, yang terlalu dibayangi oleh emosi takut
"berpunca dari tingkah laku devian" di kalangan mereka. Juga
disebabkan wujudnya fobia "kehilangan kuasa", yang mana bagi para
pemimpin Umno, kehilangan kuasa adalah satu kematian sebelum kiamat!
Atas hakikat ini apa sahaja yang bertentangan dengan kehendak
fahaman para pemimpin Umno, di anggap pengacau yang perlu
dimusnahkan, ini adalah fahaman kelasik Hitlerism dan pemikiran
pemusnah Mussolini, "Disemaikan di kalangan anggota-anggota parti
dengan perasaan bahawa maslahat mereka hanya bergantung kepada
sistem itu sahaja. Mereka sahajalah yang benar dan patut berkuasa.
Orang-orang selain dari mereka merupakan sampah, mundur dan
pengkhianat... Mereka sudah tentu akan menggunakan alat-alat
demokrasi seperti pilihanraya atau pungutan suara tetapi semua ini
digunakan dengan perkiraan atau perancangan supaya natijahnya akan
berlaku menurut kehendak pemerintah". Dengan itu, JAIS harus awas
dan waspada, jangan JAIS menjadi jais dan naif!
Apapun realitinya, sehingga kini, tidak pernah terbukti tentang
dakwaan para pemimpin Umno. Bahkan yang jelas tergambar adalah sikap
buruk dari pemikiran picisan di kalangan para pemimpin Umno, samada
pada peringkat "grassroot" atau pada peringkat tertinggi hirarki
parti. Hakikatnya, JAIS harus lebih profefsional dalam bertindak,
bukan menjadi khadam suruhan "orang-orang" politik yang kemuflisan
moral.Satu perkara yang nyata, tindakan untuk menutup PASTI,
menggambarkan wujudnya minda kekurangan dalam realiti pengurusan
JAIS, memperlihatkan kalangan penggerak JAIS adalah terdiri daripada
golongan yang kehilangan sentuhan EQ (Emotional Quotient) dan SQ
(Spiritual Quotient) sehingga wujudnya fenomena "ketidakmampuan
untuk mengalami dan menggunakan pengalaman tentang makna dan nilai
yang lebih tinggi". Situasi ini, secara tidak langsung mewujudkan
ketidakseimbangan mental dalam proses pembuatan keputasan.
Dari sudut lain, tindakan tersebut memperjelaskan wujudnya
sikap ketidakpercayaan JAIS terhadap prinsip demokrasi, khususnya
dalam konteks pendemokrasian pendidikan. Corak pemikiran sebegini
secara tidak langsung menunjukkan dominasi yang serius pengaruh Umno
dalam pentadbiran JAIS, yang jelas bertentangan dengan
Perintah-perintah Am Bab D, Perkara 21 (1) (a) yang melarang
penjawat awam "membuat apa-apa pernyataan awam, sama ada secara
lisan atau bertulis, yang memberikan suatu pandangan yang berat
sebelah atas apa-apa perkara yang menjadi isu di antara parti-parti
politik". Usaha JAIS untuk menutup PASTI, pastinya merupakan satu
tindakan yang amat tidak objektif, kerana sehingga kini, tidak
dipaparkan satu alasan yang logik dan rasional, berasaskan piawai
kajian yang teliti serta bersifat bebas.
Berhubung dengan pendemokrasian pendidikan, JAIS sepatutnya
mempunyai kepekaan yang tinggi terhadap pendirian Islam dalam
pelaksanaan pendemokrasian pendidikan "Telah pula diikuti
huraian-huraian tentang pelaksanaan daripada demokrasi pendidikan
itu sepanjang sejarah pendidikan Islam, dan didapati bahawa
demokrasi pendidikan itu pada prinsipnya telah benar-benar
dilaksanakan, maka dapatlah dikatakan bahawa demokrasi pendidikan
itu benar-benar terjamin dalam sistem pendidikan Islam. Terjaminnya
demokrasi pendidikan dalam sistem pendidikan Islam itu tidak dapat
diingkari, kerana ia adalah merupakan suatu hal yang faktual".
Dalam hal ini, JAIS harus sedari, bahawa pendemokrasian
pendidikan itu ditegakkan atas beberapa prinsip; i) setiap orang
adalah berhak ke atas pendidikan. Pendidikan harus bebas,
setidak-tidaknya pada tingkat asas dan tingkat dasar. ii) pendidikan
harus diarahkan kepada perkembangan sepenuhnya dari keperibadian
kemanusiaan dan kepada memperkuatkan rasa hormat kepada hak-hak
kemanusiaan dan kebebasan asas dan iii) orang tua-tua berhak untuk
lebih dahulu memilih jenis pendidikan yang harus diberikan kepada
anak-anak. Berdasarkan hakikat ini, JAIS seharus berupaya berfikiran
besar dalam pendidikan, menerima hakikat pendemokrasian pendidikan
sebagai satu penjanaan kepada kreativiti serta inovasi dalam
pendidikan.
JAIS sepatutnya dapat menilai pendidikan PASTI sebagai
alternatif untuk memperlengkapi falsafah pendidikan Islam, yang
berteraskan, "falsafah pendidikan Islam ialah falsafah yang
bersumberkan falsafah hidup Islam kerana menggunakan prinsip Islam
dalam bidang pendidikan. Falsafah pendidikan Islam menentukan tujuan
akhir, maksud, matlamat, nilai dan cita-cita yang telah ditentukan
terlebih dahulu oleh falsafah hidup Islam dan dilaksanakan melalui
proses pendidikan. Pendidikan Islam juga menegaskan bahawa manusia
adalah makhluk Tuhan dan manusia mempunyai batasan dalam
tindakannya. Oleh itu, pendidikan ini merupakan satu aliran falsafah
yang berbentuk keagamaan yang menanamkan keimanan manusia kepada
Allah dalam usaha membangunkan manusia sebagai insan yang dijadikan
oleh Allah supaya dapat melaksanakan tugasnya sebagai khalifah Allah
di muka bumi ini dalam keadaan tunduk dan patuh kepadanya". Hasil
penelitian yang dilakukan secara tekun ke atas pendidikan PASTI, (
antara tahun 1990 hingga 1993 di Terengganu, khususnya di Kerteh dan
Kampung Buluh, Kuala Berang dan antara 1994 hingga 2001 di Selangor)
mendapati, samada dari aspek kurikulum, kokurikulum dan
aktiviti-aktiviti tidak berkala, memperlihatkan konsep dan corak
pendidikan PASTI adalah berlangsung dalam lingkungan pemikiran dan
pemahaman untuk merealisasikan tuntutan falsafah pendidikan Islam
ini.
Ini bermakna, kenyataan Timbalan Pengarah Pendidikan Islam JAIS,
(Berita Harian 1 November 2001) berhubung dengan arahan menutup
PASTI, yang terkandung didalamnya beberapa katakunci, "laporan orang
ramai", "unsur antikerajaan", "menyeleweng daripada tujuan asal",
"melatih kanak-kanak membenci kerajaan" dan "pusat kempen
antikerajaan" adalah tertolak sama sekali. Apa yang jelas, kenyataan
yang dikeluarkan adalah bersifat "dengar cakap" bermotifkan unsur
demonologi, dalam usaha untuk mengekang kecemerlangan pendidikan
PASTI. Apa yang pasti, unsur "dengar cakap" tidak boleh dijadikan
fakta untuk bertindak. Bertindak atas dasar "dengar cakap" secara
tidak langsung mendedahkan wujudnya unsur keceluparan sikap,
kerendahan integriti diri, pelebaran mentaliti kekurangan serta
adanya penguasaan minda terkandas.
Sepatutnya, tindakan dilakukan atas sifat terbuktinya unsur
"jenayah" berasaskan penyiasatan dan pendakwaan yang adil (merupakan
hakikat tuntutan dalam Islam ke atas sebarang bentuk tuduhan). Harus
disedari, tindakan yang diasaskan kepada "dengar cakap" tidak boleh
dijadikan hujah untuk mengesahkan pendakwaan dan seterusnya
menentukan hukuman. Jika inilah kaedah ukuran yang digunakan oleh
JAIS, menggambarkan hilangnya kebijaksanaan di kalangan pendokong
dan penggerak JAIS. Sewajarnya JAIS bukan sahaja haurs mempunyai
wibawa tetapi juga harus terserlah akan kewibawaannya, agar tidak
menjadi jabatan bawaan yang menjadi juahan! Penafian Timbalan
Pengarah Pendidikan Islam JAIS, bahawa tindakan yang di ambil adalah
di luar motif politik adalah omongan bersifat "zero", kerana
kenyataan yang dikeluarkan dalam Berita Harian 1 November 2001,
adalah kenyataan yang mengandungi sentimen politik. Dalam hal ini,
JAIS tidak boleh berselindung disebalik lalang sehelai, bangkai
gajah ditutup dengan nyiru tidak hilang bekasnya, busuknya akan
tersebar di sapa angin, merentasi lautan benua!