Oleh : MOHAMED AZMIN ALI
Berikut adalah ucapan perbahasan Belanjawan Negeri Selangor Tahun 2000 oleh
ADUN Keadilan Hulu Kelang, pada 31 Oktober lalu.
Saya merasa terpanggil untuk mengambil bahagian dalam perbahasan
Belanjawan Negeri Selangor 2002 atas keinsafan untuk bersama-sama
membangunkan Negeri Selangor ke arah yang lebih cemerlang; bukan
sekadar untuk membangkang. Tugas menegur bukanlah tanggungjawab
pembangkang sahaja malahan ianya adalah tanggungjawab semua.
Malangnya, pimpinan UMNO hari ini, MCA apatah lagi MIC; semuanya
ketandusan kekuatan untuk menegur ketua-ketua mereka. Maka peranan
kami dalam Barisan Alternatif semakin besar dan mencabar untuk
membawa suara rakyat ke dalam dewan yang mulia ini. Sindrom membisu
dan mengampu tidak ada di dalam kamus perjuangan kami.
Hulu Kelang tidak merasa tercicir apabila tidak berpeluang mendengar
ucapan secara langsung pembentangan Belanjawan Tahun 2002 oleh YAB
Menteri Besar. Namun, kami bertanggungjawab untuk meneliti, mengupas
dan hari ini membahaskannya. Ucapan belanjawan kali ini, seperti
yang disebut oleh Bandar Klang, terlalu sarat dengan ‘rhetoric’
daripada merangka strategi-strategi belanjawan yang lebih fokus dan
prakmatik. Falsafah 4 E, 6 M lebih merupakan perhiasan dari amalan.
Prinsip pembentangan belanjawan adalah bertujuan untuk menilai
pencapaian ekonomi negeri sepanjang tempoh belanjawan yang lepas dan
juga mengenalpasti kelemahan-kelemahan yang wujud dalam
perlaksanaan. Keupayaan melakukan muhasabah dan berusaha untuk
mengatasinya secara berlapang dada adalah pra syarat untuk mencapai
hasrat dan semangat belanjawan untuk kemakmuran dan kesejahteraan
rakyat.
Belanjawan negeri tidak boleh diciplak dari Pusat. Negeri Selangor
merupakan sebuah negeri yang mempunyai sumber yang besar untuk
memacu ekonomi yang mampan. Belanjawan Pusat yang dibentangkan oleh
Menteri Kewangan yang baru dilantik oleh Perdana Menteri bukanlah
contoh yang terbaik untuk diteladani. Ianya lebih memanfaatkan
golongan atasan yang terbilang daripada rakyat terbanyak yang
marhain.
Keputusan kerajaan negeri untuk menjelaskan secara langsung
perbelanjaan pembelian air sebanyak RM 300 juta melalui peruntukan
negeri adalah tidak bijaksana sehingga menyebabkan peruntukan di
bawah lain-lain perbelanjaan melonjak hampir 80 % berbanding tahun
2001. Sementara usaha pemulihan ekonomi sedang rancak dipergiatkan,
justeru kerana kesan peristiwa 911 dan kegawatan ekonomi dan politik
yang masih menghambat kita, perbelanjaan seumpama ini tidak membantu
untuk merangsang ekonomi dan sewajarnya ditangguhkan. Peruntukan
yang besar ini sepatutnya dibelanjakan untuk menjana
aktiviti-aktiviti ekonomi yang memberi kesan positif langsung kepada
rakyat.
Defisit belanjawan Negeri Selangor hampir RM 338 juta atau 32.3 %
boleh dikurangkan atau dielakkan jika kerajaan negeri lebih berhemah
dan cermat dalam perbelanjaan. Lebih daripada RM 1 bilion yang
dicadangkan untuk perbelanjaan pembangunan sepatutnya disalurkan
dalam bentuk ‘liquid assets’ untuk menjana aktiviti ekonomi bagi
menambahkan pendapatan Negeri selangor.
Dasar Setinggan Sifar hanya memfokuskan perancangan untuk
menyediakan perumahan untuk setinggan tetapi tidak mempunyai
strategi dan pelan jangka panjang untuk membendung pertambahan dan
pengaliran masuk setinggan.
Kerajaan negeri memerlukan satu ‘master plan’ atau pelan jangka
panjang untuk mempelbagaikan industri ekonomi negeri. Ini akan
mengurangkan pergantungan negeri kepada satu jenis industri sahaja
seperti sektor pembuatan yang menyumbang sebanyak 54 % kepada KDNK
Negeri Selangor. Dalam krisis ekonomi seperti sekarang, apabila
sektor pembuatan terjejas, ekonomi Negeri Selangor akan turut
terjejas akibat pergantungan tersebut.
Pembentangan belanjawan bukanlah satu perkara baru. Saydina Umar
Al-Khattab dalam membentangkan belanjawannya pernah berkata bahawa
beliau akan membelanjakan wang rakyat seperti beliau membelanjakan
wang dirinya dan keluarganya. Saydina Umar menyuruh supaya wang
rakyat dibelanjakan secara cermat dan berhemah dan tidak boros dalam
perbelanjaan. Prinsip pertanggungjawaban inilah yang harus menjadi
teras kepada kepimpinan yang mampu mengangkat martabat ummat dan
menjamin keadilan untuk semua. Saydina Umar tidak menggunakan wang
rakyat untuk membeli jet peribadi Global Express dan jauh sekali
menggunakan wang rakyat untuk membina mahligai untuk sisa-sia
hidupnya. Saydina Umar juga tidak menggunakan dana awam dengan
sewenang-wenangnya untuk program ‘bail-out’ bagi keluarga dan
kroninya. Saya mengajak YAB Menteri Besar dan pimpinan negeri supaya
menginsafi prinsip pertanggungjawaban ini.
Saya juga mengajak pimpinan negeri untuk menghayati kisah Khalifah
Umar bin Abdul Aziz dalam pertemuan dengan anaknya di pejabat.
Khalifah Umar bertanya anaknya tentang tujuan kedatangannya ke
pejabat; adakah untuk urusan rasmi atau peribadi ? Anaknya menjawab,
‘urusan peribadi.’ Lalu Khalifah Umar memadamkan lilin di dalam
pejabatnya. Anak Khalifah Umar bertanya lagi mengapa lilin tersebut
dipadamkan. Khalifah Umar bertegas memberitahu anaknya bahawa lilin
tersebut adalah harta kerajaan dan bukan milik peribadi. Begitulah
prinsip pertanggungjawaban yang menjadi amalan Khalifah Umar. Bagi
pemimpin UMNO, jangankan kata lilin; baru-baru ini seorang pemimpin
kanan UMNO menggunakan stadium di Kepala Batas untuk meraikan majlis
perkahwinan anaknya yang kononnya dihadiri oleh 70,000 orang.
Falsafah ‘Good Governance‘ dalam pentadbiran Kerajaan Negeri
Selangor mestilah diterjemahkan dalam amalan pentadbiran dan
bukannya perhiasan dalam teks ucapan belanjawan.
29 Oktober 2001 merupakan ‘Hari Hitam’ dalam amalan demokrasi Sidang
Dewan Undangan Negeri Selangor. Prosiding dewan telah dicaturkan
dengan cukup terancang sehinggakan Speaker tidak mampu bertindak
secara bebas dan adil. Ahli-ahli Yang Berhormat dari Barisan
Nasional diperkudakan untuk mengunci mulut-mulut mereka daripada
membongkarkan salah laku dan rasuah yang didakwa diamalkan oleh YAB
Menteri Besar. ADUN Kelana Jaya dan ADUN Sijangkang melatah dan
menzahirkan ‘the true colors of UMNO leaders’ yang takut dengan
ketua.
Kami dari Barisan Alternatif tidak mempertikaikan kewibawaan Badan
Pencegah Rasuah (BPR). Kami juga tidak meminta dewan ini untuk
bersikap seperti sebuah badan penyiasat. Tetapi YAB Menteri Besar,
selaku ketua negeri, YAB Menteri Besar mempunyai tanggungjawab moral
dan tanggungjawab politik untuk memulihkan imej Institusi Menteri
Besar Selangor yang dari dulu tidak pernah surut dari pelbagai
bentuk amalan rasuah, salahguna kuasa, penyelewengan dan
mengkhianati amanah rakyat Selangor. Pencemaran institusi ini telah
menyebabkan rakyat Negeri Selangor hilang keyakinan terhadap
kredibiliti, ketelusan dan kemampuan kepimpinan kerajaan Negeri
Selangor. Saya mendesak YAB Menteri Besar untuk menggunakan dewan
yang mulia ini sebagai forum yang terbaik untuk mengembalikan
keyakinan rakyat kepada kerajaan negeri dengan memberikan penjelasan
yang jujur dan tepat berhubung dakwaan amalan rasuah dan salahguna
kuasa yang telahpun dirongkai oleh sahabat saya, ADUN Sungai Burong
semalam.
Sebagai wakil yang mewakili rakyat Selangor yang menjunjung kasih Ke
Bawah DYMM Tuanku Raja Selangor dan mendukung institusi raja
berperlembagaan, saya amat prihatin atas timbulnya dakwaan salah
laku YAB Menteri Besar Selangor yang membabitkan nama baik DYMM
Tuanku. Saya tidak akan membenarkan mana-mana pihak untuk mencari
perlindungan dengan mencemarkan nama baik DYMM Tuanku. Saya memohon
YAB Menteri Besar dapat memberikan penjelasan sepenuhnya.
Saya mengesa agar Jawatankuasa Peringkat Negeri yang meneliti semua
permohonan dan kelulusan tanah di Negeri Selangor dianggotai oleh
wakil dari BPR untuk mengelakkan sebarang unsur-unsur rasuah dan
penyelewengan. Saya juga mendesak YAB Menteri Besar untuk tidak
mempengaruhi siasatan yang sedang dijalankan. Pendekatan yang
bermoral ialah dengan YAB Menteri Besar meletakkan jawatan sementara
siasatan ke atas dakwaan penyelewengan dan salahguna kuasa
diselesaikan untuk menjamin ketelusan.